Teks Pengacara Majlis (Emcee)
Majlis Pertunangan
Buah pauh sudah diikat
Supaya petang boleh dimakan
Pada yang jauh dan juga dekat
Selamat datang kami ucapkan
Mengumumkan ketibaan keluarga rombongan yang diketuai oleh (NAMA KETUA ROMBONGAN/ NAMA AYAH & IBU LELAKI).
(KETIBAAN KELUARGA ROMBONGAN)
Orang ke laut menjala udang
Petang hari pasang pelita
Keluarga rombongan sudah pun datang
Nak dara jelita berkunjung tiba
Majlis ingin menjemput dan mempersilakan kepada ..................... dengan ditemani ibunda tercinta, Puan ..................... untuk mengambil tempat di atas singgahsana. Dipersilakan.
(BERGERAK KE MINI PELAMIN JIKA ADA)
** Sebaik dah duduk dan semua dah bersedia, baru mulakan majlis.
Yang dihormati (NAMA PENUH TUAN RUMAH)
Yang dihormati juga (NAMA KETUA ROMBONGAN/ NAMA AYAH & IBU LELAKI)
Seterusnya ahli keluarga, sanak saudara serta hadirin hadhirat para tetamu yang dirahmati Allah swt.
Selamat datang ke Majlis Pertunangan (NAMA PENUH PASANGAN YANG AKAN BERTUNANG - L&P)
Sebelum madah terus diungkap, sebelum janji terus diikat, marilah kita bersama-sama membuka majlis yang mulia ini dengan bacaan umul kitab, al-fatihah.
(BACAAN AL-FATIHAH)
Tuan puan sekalian, sedikit info ringkas berkenaan pasangan yang akan bertunang pada hari ini. Untuk makluman, pasangan dua sejoli berkenalan sejak (TARIKH/ TAHUN PERKENALAN).
Kemudian setelah saling mengenali hati budi masing-masing, (NAMA LELAKI) telah menghantar rombongan merisik pada (TARIKH MERISIK). Dan selanjutnya, insyaallah dan alhamdulillah, pada hari ini (TARIKH PERTUNANGAN), kedua-dua merpati dua sejoli ini akan melangkah setapak lagi untuk mengukuhkan lagi perhubungan mereka dengan mengikat tali pertunangan.
Semoga ikatan yang dibina ini akan terus berkekalan sehinggalah ke hari majlis walimatulurus yang akan diadakan mengikut kepada apa yang akan dibincangkan nanti.
Kalau pergi Tanjung Keramat
Anak manis jangan diangkat
Bersama kita memohon rahmat
Moga majlis mendapat berkat
Baiklah, tanpa melengahkan masa saya menyerahkan kepada (TUAN RUMAH/ WAKIL KELUARGA PEREMPUAN) untuk menuturkan sepatah dua kata dan membuka bicara Majlis Pertunangan ini. Dipersilakan.
(PEMBUKA BICARA UNTUK MAJLIS PERTUNANGAN)
*Lazimnya akan disahut oleh pihak keluarga rombongan dan sesi perbincangan akan diteruskan oleh kedua-dua belah pihak
Baiklah, demikianlah tadi kata janji telahpun disepakati. Semoga yang dihajati akan termakbul, sama-sama kita doakan.
Kalau tidak kerana bulan
Tidak bintang terbit pagi
Kalau tidak kerana tuan dan puan
Tidak majlis sepermai ini
Untuk acara selanjutnya, saya ingin menjemput dan mempersilakan Puan (NAMA IBU LELAKI), ibu kepada (NAMA LELAKI) untuk tampil ke hadapan dan seterusnya menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis (NAMA PEREMPUAN). Dipersilakan.
(SARUNG CINCIN PERTUNANGAN)
Alhamdulillah, telah rasmi (NAMA PASANGAN YANG BERTUNANG – L&P) pada hari ini menjadi pasangan yang bertunang. Dan seterusnya adalah sesi bergambar bersama keluarga, dengan itu dipersilakan kepada :
i. Keluarga pihak lelaki
ii. Saudara-mara pihak lelaki
iii. Keluarga tuan rumah (pihak perempuan)
iv. Saudara-mara pihak perempuan
Alhamdulillah, selesai sudah acara rasmi majlis pertunangan pada hari ini. Seterusnya adalah sesi menjamu selera.
Bunga dedap di atas para
Anak dusun pasang pelita
Andai tersilap tutur bicara
Jari disusun maaf dipinta
Dengan itu, dipersilakan kepada semua yang hadir pada hari ini untuk menikmati hidangan di ruangan yang disediakan. Dan lagu-lagu akan dimainkan untuk hiburan halwa telinga bersama. Selanjutnya setelah selesai menjamu selera, tuan/puan yang lain boleh mengambil masa sendiri untuk bergambar bersama-sama (NAMA PASANGAN YANG BERTUNANG – L&P).
Sekian, terima kasih diucapkan. Wabillahi taufik walhidayah, Wassalamualaikum wbt.
"Jika anda perlukan Emcee untuk Majlis Pertunangan, Majlis Pernikahan mahupun Majlis Resepsi/ Persandingan, boleh hubungi 01162099363 (https://wa.me/601162099363). Pakej sewaan pa system turut juga disediakan."
0 Ulasan