Sirih junjung berhias indah,
Sekacip pinang pembuka kata,
Bunga manggar kilau bercahaya,
Datang berkunjung ke majlis meriah,
Sejarah terukir nilai permata,
Lembaran sejarah kini bermula.
Diiringi paluan kompang, berjalan masuk ke dewan, menuju ke pelamin yang tersergam indah di hadapan, pasangan pengantin yang cantik lagi menawan, yang segak juga rupawan, pasangan Raja Sehari;
NAMA PENGANTIN LELAKI bersama pilihan hatinya NAMA PENGANTIN PEREMPUAN
<PENGANTIN DIARAK KE PELAMIN DIRINGINI PALUAN KOMPANG>
Anak Cina memasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Selasih
Pasangan pengantin segak melangkah
Mara menuju mahligai kasih
Panas kering siapakan tahu
Hujan rintik di Pulau Pandan
Berjalan seiring bersentuh bahu
Samalah cantik samalah padan
<PENGANTIN BERADA DI ATAS PELAMIN>
Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu `Alaikum W.B.T.
Allah swt berfirman di dalam surah Ar-Rum ayat 21:
Maksudnya
Dan di antara membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi tanda-tanda orang-orang yang berfikir.
Hari ini menugal jagung
Hari esok memintal tali
Hari ini kita berkampung
Meraikan mempelai dua sejoli
Yang dihormati Tan Sri-tan Sri, Puan Sri-puan sri, dato’-dato’, datin-datin, tuan-tuan, puan-puan serta hadirin sekalian, bagi pihak keluarga NAMA AYAHANDA DAN BONDA (TUAN RUMAH), saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua tetamu jemputan pada hari ini. Sesungguhnya kehadiran para tetamu sekalian amatlah bermakna dan dapat menyerikan majlis kita pada hari ini.
TARIKH MAJLIS BERLANGSUNG, bertempat di Dewan TEMPAT MAJLIS BERLANGSUNG ini… menjadi saksi detik-detik bersejarah pasangan mempelai ini. Semoga menjadi ingatan dan kenangan yang terindah untuk dibawa hingga ke anak cucu hendaknya.
Burung Nuri hinggap di balai
Balai seri buatan Pak Tua
Tempat berehat rakan dan taulan
Duduk tersenyum kedua mempelai
Menadah tangan memanjatkan doa
Moga jodoh sentiasa berkekalan
Dengan itu, bagi memohon majlis ini diberkati dan dirahmati Allah, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dipimpin oleh NAMA PEMBACA DOA.
<BACAAN DOA>
Terima kasih diucapkan atas bacaan doa sebentar tadi.
Anak teruna mengail patin
Mengail patin di tepi titi
Senyum terukir pasangan pengantin
Tanda gembira penuh di hati
Baiklah, kita teruskan majlis dengan acara menepung tawar/ merenjis air mawar/ salam restu.
Dengan itu, saya menjemput:
* BERIKAN SENARAI NAMA KELUARGA PENGANTIN PEREMPUAN
* BERIKAN SENARAI NAMA KELUARGA PENGANTIN LELAKI
Demikianlah tadi, acara menepung tawar/ merenjis air mawar/ salam restu bagi memeriahkan majlis persandingan pasangan dua sejoli yang segak dan cantik di singgahsana.
Majlis diteruskan dengan acara kemuncak kita pada hari ini iaitu majlis makan beradab. Dengan rasa hormatnya, saya menjemput pasangan pengantin dan ahli keluarga untuk bersama-sama ke meja yang disediakan bagi menikmati hidangan.
Semerbak bunga seroja
Dibelai dara pingitan
Lauk pauk penuh semeja
Jemput mempelai menikmati hidangan
Bagi hadirin/hadirat yang dirahmati sekalian, janganlah malu janganlah segan untuk sama–sama menikmati juadah enak yang disediakan. Bagi tetamu yang baru tiba, saya mengalu–alukan kehadiran tuan tuan dan puan puan ke majlis yang bersejarah ini.
Hadirin yang dimuliakan, agenda majlis diteruskan ke berikutnya iaitu memotong kek. Dipersilakan kedua mempelai berangkat ke sudut kiri/hadapan pelamin.
<PENGANTIN MEMOTONG KEK>
Sesungguhnya manusia itu sememangnya memerlukan kepada cinta. Kerana cinta itu, menjadikan hidup manusia lebih bermakna, bahagia dan sempurna apatah lagi melalui ikatan perkahwinan yang dituntut agama.
Tiup serunai di atas kota
Uda memupuk bunga melati
Mula kenal kemudian bercinta
Cinta tersemai di dalam hati
Inilah yang dikatakan
umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai ke destinasinya
Majlis diteruskan lagi dengan acara selanjutnya iaitu sesi fotografi pasangan mempelai di atas pelamin. Majlis menjemput dan mempersilakan keluarga pengantin lelaki terlebih dahulu untuk bergambar bersama pengantin di atas pelamin.
Seterusnya dijemput pula keluarga pengantin perempuan untuk bersama-sama pengantin di atas pelamin untuk acara bergambar kenang-kenangan.
Majlis diteruskan dengan sesi bergambar bersama saudara-mara dan sahabat-handai yang turut hadir ke majlis ini. Dipersilakan.
<SESI BERGAMBAR>
Tiada untaian kata yang mampu dilafazkan selain ungkapan rasa syukur dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas daripada Raja Sehari dan ahli keluarga buat semua, atas kesudian hadir dan memeriahkan Majlis kita pada hari yang penuh keberkatan ini. Dijemput pasangan mempelai kita yang diraikan pada hari ini untuk ke ruang bawah ini bagi beramah mesra dengan tetamu yang hadir.
<PENGANTIN BERAMAH MESRA DENGAN TETAMU>
Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali
Mohon maaf atas segala kekurangan semasa mengacarakan Majlis ini. Berjumpa kita lagi pada masa yang akan datang. Saya mengucapkan salam hormat buat semua, Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum WBT.
Sesi selanjutnya dikendalikan oleh Emcee secara santai dan tertakluk kepada acara yang ditetapkan oleh pelanggan. Untuk tempahan dan pertanyaan tarikh, sila hubungi kami menerusi whatsapp 011-62099363:
0 Ulasan